Muhaamad Hafis Nawawi


EMPAT penunggang motosikal termasuk tiga beradik cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 25 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dari arah Cyberjaya ke Kelana Jaya, dekat Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu individu belum dikenal pasti terlanggar belakang Mazda CX3 dipandu lelaki menyebabkan kereta itu terlajak ke depan dan melanggar Proton Persona yang dipandu seorang lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kereta Perodua Myvi itu kemudian terbabas dan melintang jalan sebelum empat motosikal yang tiba di situ tidak sempat mengelak dan terus terlanggar kereta terbabit.

Menurutnya, penunggang terbabit kemudian dibawa ambulans ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

“Penunggang pertama, Wan Muhammad Wan Kamaruzaman, 36, cedera di bahagian dada dan luka di lutut kiri

Pembinaan Projek Bandar Malaysia boleh dilihat dari menara kawalan PUKL Sungai Besi. Foto Amirudin Sahib

“Sementara penunggang kedua, Wan Azlan Wan Kamaruzzaman, 33, patah tulang pinggul dan pergelangan tangan kanan patah," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Azman berkata, dua lagi mangsa, Wan Hussin Wan Kamaruzaman, 40, patah pergelangan tangan kiri, sementara Muhamad Faiz Mohamad, 25, retak kaki kiri.

“Siasatan mendapati Perodua Myvi itu mengekori rapat Mazda CX3 terbabit tidak sempat mengelak sehingga berlaku kemalangan itu.

“Kita masih mengesan pemilik kereta Perodua Myvi terbabit yang belum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular di media sosial sebuah video berdurasi 29 saat memaparkan empat penunggang motosikal melambung akibat merempuh sebuah kenderaan di mana tiga daripadanya adalah adik-beradik.

Mangsa dipercayai baru sahaja pulang dari satu majlis di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 2:03 AM