RIZQ Fazliana (tengah) menunjukkan barang rampasan telekung tiruan Siti Khadijah bernilai RM11,340 di Bilik Gerakan KPDNHEP Muar.
Badrul Kamal Zakaria


MUAR: Guna tapak ekspo untuk menjual telekung palsu. Itu antara kegiatan peniaga yang diambil tindakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Muar hasil operasi di sebuah tapak ekspo di Tangkak di sini, semalam.

Dalam pemeriksaan mengejut itu, pihak KPDNHEP berjaya menemui dan merampas 127 pasang telekung tiruan menggunakan jenama terkenal Siti Khadijah bernilai RM11,340.

Ketua KPDNHEP Cawangan Muar, Rizq Fazliana Abd Hamid berkata, pemeriksaan Ops Barangan Tiruan itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada pemilik cap dagang berkaitan penjualan produk Siti Khadijah disyaki menggunakan cap dagang palsu.

“Lima anggota KPDNHEP Cawangan Muar bersama dua wakil syarikat berkenaan membuat serbuan di tapak ekspo itu jam 1.30 tengah hari semalam.

“Kami mengambil tindakan terhadap sebuah premis menjual pakaian kerana menawar 127 pasang telekung berjenama tiruan,” katanya.

Rizq Fazliana berkata, peniaga tempatan itu dikesan menjual telekung tiruan pada harga serendah RM90 sepasang berbanding harga produk asli yang dijual dengan harga RM146.

“Ketika serbuan dilakukan, seorang wanita berusia 40 tahun berada di dalam premis berkenaan dan kami turut merakamkan percakapannya bagi membantu siasatan.

“Kami juga masih melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP Muar akan terus menjalankan operasi terhadap mana-mana premis didapati menjual barangan tiruan termasuk jenama itu pada masa akan datang.

“Semua peniaga dinasihatkan mematuhi undang-undang dan tidak terbabit dalam aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan. Pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika membuat pembelian dengan memastikan produk dibeli adalah asli.

“Sekiranya ada sebarang maklumat atau aduan, pengguna boleh menghubungi kami di talian 06-9521094 atau diaplikasi ez-adu.

“Pengguna juga boleh mengemukakan aduan mereka ke e-mel [email protected],” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 6:01 AM