DUA individu mengaku kaum Palauh ditahan kerana menyeludup petrol. (Gambar kecil) Tong berisi petrol yang dirampas. FOTO IHSAN PPM
Abdul Rahemang Taiming


DUA lelaki dipercayai suku Palauh ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dikesan cuba menyeludup keluar 400 liter petrol melalui perairan Ambo-Ambo, Semporna, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan susulan maklumat dan risikan dijalankan Unit Risikan Marin (URM) yang mengesan sebuah perahu dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan kira-kira jam 6.30 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Pajeri Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati perahu itu dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 25 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 400 liter petrol diisi dalam 12 tong jerikin pelbagai saiz.

“Kedua-dua lelaki gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri (secara lisan mengaku dari suku Palauh) selain mengaku membawa barang kawalan berkenaan tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Pajeri berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan bernilai RM14,223.68 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM1 juta seorang selain hukuman penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 8:55 AM