Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


TIGA lagi individu ditahan dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan bersenjata dua kumpulan di laluan masuk ke Kuil Kaliamma, Sungai Darah, Bestari Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, semua suspek lelaki itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Menurutnya, polis menahan salah seorang suspek dipercayai melarikan diri ke Nilai, Negeri Sembilan.

“Suspek pertama ditahan di hadapan sebuah rumah di Nilai, manakala dua lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Bestari Jaya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dengan penahanan tiga individu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap sehingga kini adalah 32 orang suspek.

Semalam, seramai 28 suspek direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor untuk siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan perarakan upacara keagamaan di kuil berkenaan bertukar kecoh apabila dua kumpulan bergaduh hanya disebabkan tapak khemah, malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 9.15 malam itu, dua kumpulan terbabit bertengkar mengenai pemasangan khemah sebelum bergaduh menggunakan parang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihak polis yang bertugas ketika itu cuba mententeramkan keadaan dan membuat tangkapan, namun turut diserang.

Kejadian itu mengakibatkan seorang anggota polis dari Balai Bestari Jaya berusia 34 tahun cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima enam jahitan.

Seorang lagi mangsa yang terbabit dengan pergaduhan itu juga putus sebahagian tapak tangan kiri dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Berita berkaitan

28 lelaki direman lima hari

Dah tak boleh bincang ke..

Perang kongsi gelap: 2 ditahan

[UPDATE] Angkara dendam kongsi gelap

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 3:13 PM