KEBBAKARAN hutan di Bukit Palas, Cherating membabit kawasan seluas 10 hektar. FOTO ihsan bomba.
Shahrinnahar Latib


KAWASAN hutan seluas 10 hektar di Bukit Palas, Cherating terbakar dipercayai akibat cuaca panas, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menggunakan dron bagi memantau kebakaran berkenaan pada 8 pagi.

“Kami mahu mengesan akses laluan masuk ke lokasi selain mengesan sumber air terbuka untuk kegunaan operasi pemadaman.

“Operasi pemadaman menggunakan dua pam angkut bagi mengawal api daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, luas keseluruhan kawasan hutan terbabit kira-kira 4.35 kilometer dan kawasan sudah terbakar dianggarkan seluas 25 hektar.

Selain itu, katanya, kira-kira empat hektar belukar di sempadan ladang Felcra Pulau Rumpun di Pekan terbakar, semalam.

“Bomba menggunakan pam angkut dan pam milik ladang berkenaan kerana jentera tidak boleh masuk ke kawasan berkenaan.

“Buat masa ini, kami sedang berusaha memadamkan kebakaran kedua-dua kawasan berkenaan sambil melakukan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan kawasan mengalami kebakaran ini akan terus dipantau untuk mengelakkan ia merebak ke kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:26 PM