SEKUMPULAN individu dipercayai ahli keluarga mangsa berjalan menghala ke arah Gunung Berembun. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Raja Noraina Raja Rahim


AHLI keluarga remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort, enggan ditemubual petugas media.

Seorang lelaki dipercayai bapa mangsa turut menegur jurugambar yang merakam foto mereka dan meminta supaya tidak berbuat demikian.

“Jangan (ambil gambar). Bagaimana jika perkara ini terjadi kepada keluarga kamu,” katanya.

Lelaki terbabit bersama lima individu lain dipercayai ahli keluarga mangsa diiringi seorang wanita tempatan berjalan kaki keluar dari kawasan resort menghala ke Gunung Berembun sebelum dihampiri sekumpulan media.

Bagaimanapun, tujuan mereka ke gunung berkenaan tidak diketahui.

Terdahulu, Nora Anne yang mempunyai masalah pembelajaran disedari hilang oleh ahli keluarga ketika menginap di resort berkenaan pada jam 8 pagi, Ahad lalu.

Susulan laporan itu, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sekitar membabitkan radius seluas 4.85 hektar.

Operasi memasuki hari keempat, hari ini, masih gagal mengesan mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop ketika sidang media, semalam, berkata usaha mencari remaja itu berdepan kesukaran kerana jejaknya hanya dapat dikesan 100 meter dari lokasinya hilang.

Kira-kira 20 petugas media tempatan dan antarabangsa berkampung di jalan masuk resort sejak awal pagi ini bagi mendapatkan perkembangan semasa operasi SAR.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan masuk dan hanya menunggu di pintu masuk resort.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 10:52 AM