Mohamat Johari (tengah) menunjukkan sistem JPJeBid dan bidaan nombor pendaftaran PPC1 bernilai RM111,111. FOTO Ramdzan Masiam
Nur Izzati Mohamad


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang pertama kali menggunakan sistem bidaan atas talian dikenali ‘JPJeBid’ berjaya menjual nombor pendaftaran kenderaan siri baharu iaitu PPC 1 dengan nilai RM111,111.

Nombor pendaftaran kenderaan itu dibida lelaki bagi kategori persendirian selepas melalui proses bidaan yang dibuka selama lima hari bermula Jumaat hingga Selasa lalu.

Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, Pulau Pinang menjadi negeri keempat yang melaksanakan JPJeBid yang dikuatkuasakan semua negeri secara berperingkat sehingga Oktober ini bagi menggantikan sistem konvensional.

“Oleh itu, kita mengambil langkah memperkenalkannya dengan nombor pendaftaran siri PPC yang mana PPC 1 berjaya dibida pada nilai RM111,111.

“Selain PPC 1 yang dicatatkan sebagai tertinggi bagi siri itu, PPC 3 dibida pada harga RM45,000, diikuti PPC 33 (RM25,000), PPC 22 (RM12,150) dan PPC 333 (RM6,464),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Tender Nombor Pendaftaran Siri PPC di Pejabat JPJ Seberang Jaya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima 586 bidaan melalui sistem JPJeBid dengan 300 daripadanya adalah bidaan yang berjaya dengan kutipan keseluruhan RM969,738.

“Nombor pendaftaran siri PPA kita berjaya memperoleh kutipan lebih RM1.07 juta dan PPB pula lebih RM1.068 juta mengikut kaedah konvensional.

“Untuk siri ini kutipan rendah sedikit memandangkan sistem bidaan atas talian ini masih baharu diperkenalkan,” katanya.

Tiga negeri lain yang sudah melaksanakan JPJeBid adalah Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kedah.

Untuk kaedah bidaan dalam talian, pembida perlu menggunakan aplikasi di telefon pintar atau melayari laman web untuk membuat bidaan nombot plat yang mana ia didapati lebih telus dan memudahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:53 PM