PERSERTA yang mengikuti Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Ibu Pejabat JSJK, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman merekodkan kerugian RM250 juta membabitkan kes jenayah siber bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Pengarah JSJK Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, sebanyak 5,069 laporan diterima pihaknya berkaitan jenayah siber sepanjang tempoh sama.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu 1,973 individu ditahan kerana disyaki terbabit dengan jenayah siber.

“Kes jenayah siber paling tinggi dilaporkan adalah penipuan telekomunikasi termasuk Macau Scam, love scam dan penipuan berkaitan pembelian dalam talian atau e-dagang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di Ibu Pejabat JSJK, semalam.

Mohd Zakaria berkata, penipuan telekomunikasi menunjukkan ada kebocoran data membabitkan penggunaan jenis kad ATM, debit dan kredit berikutan suspek mempunyai maklumat berkenaan ketika membuat panggilan.

Menurutnya, pihak bank perlu memainkan peranan dengan menyimpan maklumat peribadi pelanggan mereka dengan lebih ketat.

“Bagi e-dagang, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika membeli barang dalam talian seperti di Facebook dan amalkan urusniaga secara tunai atau COD (Cash On Delivery) untuk mengelakkan daripada ditipu,” katanya.

Selain itu beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terjerat dengan sindiket love scam yang mengumpan mangsa dengan mengatakan akan menghantar bungkusan hadiah kepada mereka.

“Namun, mangsa diminta mengeluarkan sejumlah wang kononnya untuk bayaran pemprosesan untuk melepasi pemeriksaan kastam,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bermula 2015 hingga tahun lalu kerugian membabitkan kes jenayah komersial termasuk pinjaman tidak wujud dan penipuan skim pelaburan berjumlah RM2 bilion.

“Situasi ini secara tidak langsung akan menjejaskan ekonomi negara kerana pihak luar kurang yakin untuk membuat pelaburan selepas melihat statistik berkenaan.

“Mereka juga mungkin melihat daripada segi kelemahan aliran wang masuk dan keluar yang begitu mudah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:50 AM