ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP memeriksa kedai cermin mata di sekitar bandaraya Ipoh.
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 189 cermin mata tiruan jenama terkenal bernilai lebih RM46,000 dalam beberapa serbuan sekitar bandar raya ini kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Khalid Tik berkata, operasi bermula jam 10 pagi disertai 21 anggota KPDNHEP Perak bersama-sama lima wakil cap dagang itu memeriksa beberapa premis menjual cermin mata bagi mengesan penjualan barangan tiruan.

“KPDNHEP bertindak menyita 189 cermin mata tiruan berjenama terkenal dan semua barang sitaan itu disimpan di stor KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan terbabit dianggarkan RM46,031 manakala pemilik semua premis itu diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya dalam kenyatan semalam.

Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara maksimum tiga tahun.

Menurutnya, KPDNHEP memandang serius kesalahan dilakukan peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan berjenama sekali gus melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:00 AM