Raja Noraina Raja Rahim


KELUARGA remaja perempuan, Nora Anne Quoirin, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban sejak Ahad lalu, melahirkan penghargaan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu.

Dalam satu kenyataan, ahli keluarga itu berterima kasih kepada pasukan keselamatan dan orang ramai yang terbabit dalam operasi pencarian remaja warga Ireland itu.

“Terima kasih kepada polis dan pasukan SAR untuk segala bantuan sepanjang kami berdepan detik hitam ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kedutaan, komuniti setempat, pekerja hotel dan orang ramai yang turut membantu.

“Kami terharu dengan segala sokongan yang diberikan. Kejadian ini sangat traumatik,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa.

Katanya, ahli keluarga masih bersedih dengan kejadian itu dan berharap semua pihak terus membantu serta menyokong usaha mencari Nora Anne.


Ucapan penghargaan melalui video yang dikeluarkan Lucie Blackman Trust.

Ibu bapa mangsa Sebastien dan Meabh masih terlalu sedih untuk menerangkan mengenai kejadian itu.

“Keluarga kami tidak boleh menghadapi perkara ini buat masa ini. Namun kami percaya dan berharap semua pihak terus menyokong serta membantu usaha mencarinya.

“Nora masih hilang dan kita perlu lakukan segalanya untuk pastikan dia selamat pulang,” katanya.

Nora Anne dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR di kawasan itu.

Bagaimanapun, operasi SAR memasuki hari kelima hari ini dan sehingga kini masih belum dapat mengesan mangsa.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:46 AM