BADOK yang bakal dikorbankan Aidiladha ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


LEMBU baka Blonde seberat lebih 800 kilogram (kg) antara lembu terbesar yang akan dikorbankan di Terengganu sempena Aidiladha, Ahad ini.

Lembu berusia empat tahun yang dipanggil Badok itu dianggarkan bernilai RM15,000 diternak Mohd Amirul Mukminin Sulaiman, 35, dari Kampung Laut.

Mohd Amirul berkata, dia mengambil keputusan menjadikan ternakan kesayangannya itu sebagai haiwan korban sesuai dengan konsep pengorbanan.

“Memang saya sayang pada Badok kerana menjaganya sejak kecil tetapi tidak dinamakan berkorban sekiranya kita tidak memberi ternakan yang terbaik dan paling disayangi untuk menjalankan ibadat itu.

“Badok juga kerap membanggakan saya apabila sering berada pada kedudukan lima terbaik dalam pertandingan lembu sado di negeri ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Laut, hari ini.

Dia berkata, dia membuka tawaran untuk menyembelih lembu itu sebagai ternakan korban pada awal Julai lalu melalui kenalan dan media sosial.

“Tujuh bahagian yang ditawarkan dengan harga RM2,000 sebahagian itu sudah ditempah penduduk dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Kebiasaannya sebanyak 50 kg diperoleh untuk satu bahagian bagi lembu baka berbanding lembu biasa hanya 18 hingga 20 kg saja,” katanya yang mempunyai 10 lembu pelbagai jenis baka termasuk Limosin dan Charolais.

Menurutnya, sebelum ini, lembunya itu pernah ditawarkan seorang penternak dengan harga RM12,000 tetapi dia enggan menjualnya kerana mahu menjadikan Badok sebagai haiwan korban.

“Sebelum ini, hanya lembu biasa dijadikan ternakan korban tetapi pada tahun ini saya ingin membuat kelainan dan menggalakkan lebih ramai penternak berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Negeri Terengganu, Ahadi Othman turut memuji penternak yang menyediakan lembu atau kambing yang sihat dan gemuk untuk dikorbankan.

“Masih ramai masyarakat yang terlalu berkira-kira apabila menjalankan ibadat korban, mereka ingin berkorban tetapi memilih ternakan yang tidak berzat dan kurus kerana inginkan harga yang murah.

“Jika kita tidak mampu, jangan paksa diri untuk menjalankan ibadah itu, pilihlah ternakan terbaik yang menepati ciri-ciri yang dianjurkan Islam.

“Daging korban itu akan diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan dan memerlukan, jadi pastikan ia daripada sumber terbaik menepati konsep pengorbanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 12:36 PM