KEADAAN van Jabatan Penjara yang dirempuh sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ). FOTO ihsan pembaca
Rizanizam Abdul Hamid


PEGAWAI Penjara Sungai Udang, Melaka, cedera selepas van Jabatan Penjara dipandu dirempuh lori di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Merlimau, Jasin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian 8.15 pagi itu, pegawai berkenaan, Mohd Syafiq Mohd Rashid, 26, cedera di muka dan tangan manakala pemandu lori berusia 44 tahun cedera di kaki.

“Lima lagi penumpang van yang juga pegawai Jabatan Penjara Sungai Udang berusia antara 23 dan 36 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Turut terselamat adalah tiga tahanan lelaki di dalam van berkenaan yang ketika itu sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Udang menghala ke Muar, Johor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dari arah Merlimau menuju ke Muar merempuh van Jabatan Penjara yang datang dari arah Sungai Udang ke Muar.

“Kemalangan mengakibatkan lori berkenaan terbabas sebelum melanggar sebuah kereta lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan. Pemandu kereta berusia 20 tahun itu yang juga pelajar Politeknik Merlimau tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 2:42 PM