Azrul Affandi Sobry


JALAN Labohan Dagang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelam dengan asap tebal dipercayai akibat kebakaran hutan di situ, hari ini.

Dipercayai, ketika ini pasukan bomba dari Balai Bomba Nilai dan KLIA sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain terutama stesen minyak berhampiran.

Difahamkan kebakaran itu bermula dari satu lokasi pencawang elektrik dan merebak sehingga memusnahkan lebih 1.62 hektar kawasan hutan itu.

Tinjauan wartawan mendapat beberapa anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran dan memastikan ia tidak sampai ke stesen minyak bersebelahan hutan.


ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain. FOTO Azrul Affandi Sobry

Ketua Balai Bomba KLIA, Timbalan Penguasa Bomba, Khairuddin Jamaluddin berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti punca kebakaran namun pihaknya yakin kebakaran itu dapat dikawal.

Katanya, 10 anggota bomba dari Nilai dan beberapa lagi dari KLIA sudah dikerahkan untuk mengawal kebakaran dengan segera memandangkan cuaca panas dan angin kuat.

"Saya belum pasti apa puncanya tetapi anggota bomba sudah masuk ke hutan dan menggunakan sumber air dari sungai berhampiran.

"Kami yakin ia dapat dikawal dan tidak akan merebak atau membahayakan penduduk setempat mahupun stesen minyak berhampiran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


JALAN Labohan Dagang berhampiran KLIA kelam dengan asap. FOTO Azrul Affandi Sobry

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:49 PM