DR Zakir Naik ketika program ceramah di Shah Alam pada Ramadan lalu. FOTO Arkib NSTP.
DR Zakir Naik ketika program ceramah di Shah Alam pada Ramadan lalu. FOTO Arkib NSTP.
Muhamaad Razis Ismail


PENGANJURAN program Dr Zakir Naik di Kelantan adalah sebagai tanda solidariti terhadap penceramah antarabangsa itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sokongan diberikan kerana pendakwah antarabangsa itu mendapat serangan hebat terutama isu ekstradisi.

“Kita melihat Dr Zakir sebagai pejuang Islam yang seharusnya diberikan sokongan padu. Kita anjurkan pelbagai program kemasyarakatan untuk menunjukkan solidariti kepada Dr Zakir berikutan serangan terhadap beliau.

“Dr Zakir bukan pengganas. Dalam kes beliau sebelum ini, kita tahu tujuan ia dilakukan adalah disebabkan politik,” katanya selepas Majlis Executive Talk bersama Dr Zakir Naik di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Malaysia tidak akan mengekstradisi pendakwah dari India itu ke negara asalnya kerana beliau tidak diletakkan dalam senarai Merah Polis Antarabangsa (INTERPOL) atau senarai pengganas Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSCR).

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kementeriannya sudah membuat semakan dengan kedua-dua senarai itu yang mana, nama Dr Zakir tidak disenaraikan, sekali gus membolehkan beliau bergerak bebas di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:24 PM