LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhammad Apendy Issahak


KERTAS siasatan berhubung kes pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa dirogol EXCO Perak dipulangkan kali kedua kepada polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ia bagi melengkapkan siasatan membabitkan beberapa keterangan.

“Polis tidak boleh dedahkan apa yang perlu dilengkapkan itu, namun seperti yang saya tegaskan sebelum ini polis menjalankan siasatan dengan telus dan adil bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurna dan menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, polis akan cuba melengkapkan kertas siasatan itu, dalam tempoh dua hari ini.

Mengulas perkembangan siasatan kes samun dua kenderaan membawa emas RM1 juta yang dilanggar lori di Jalan Chin Hwa, Ipoh Isnin lalu, Razarudin berkata, setakat ini keterangan dua mangsa yang juga pemandu kenderaan yang disamun itu sudah diambil.

“Bagaimanapun mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana terlampau takut dan trauma.

“Seorang daripada mangsa ketika kejadian berlaku terkena hentakan ‘air bag’ selepas kenderaannya dirempuh dan dia tidak dapat melihat apa yang berlaku serta keadaan juga gelap selain cermin kenderaan turut dipecahkan,” katanya.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran lokasi kejadian juga tidak dapat merakam gambar suspek sebaliknya hanya merakam pergerakan kenderaan sahaja.

“Cuma dapat nampak kenderaan lalu tidak dapat cam orang, namun dapat lihat nombor pendaftaran kenderaan,” katanya.

Berita berkaitan

Exco Perak nafi tuduhan rogol

Pembantu rumah ditempatkan di tempat selamat

Exco Perak disyaki rogol pembantu rumah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 12:53 PM