Nur Lela Zulkipli


PENDUDUK Kampung Jenjarom kesal dengan tindakan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MDKL) mengeluarkan lesen perniagaan sementara kepada sebuah kilang di daerah itu.

Kilang berkenaan didakwa menjadi punca pencemaran asid dan plumbum di Kuala Langat.

Wakil penduduk, Mohd Nazri Afrizal, 36, berkata, pada April lalu, kilang itu sudah diarah tutup namun, dilihat beroperasi semula pada Jun lalu.

“Selepas kilang itu ditutup, penduduk merasa lega kerana tidak perlu lagi berdepan pencemaran daripada peleburan plumbum.

“Namun, kini kami bimbang apabila terdapat pergerakan keluar masuk pekerja dan juga lori di kilang berkenaan selepas Syawal lalu, seperti ia beroperasi semula.

PENDUDUK mengadakan demonstrasi aman membantah operasi kilang yang didakwa bawa pencemaran. FOTO Sairien Nafis.

“Keadaan itu sekali gus mendedahkan penduduk kepada pencemaran yang berisiko ancam kesihatan,” katanya yang ditemui ketika berhimpun bersama 50 penduduk di Jalan Sukepi, Jenjarom, Kuala Langat bagi membantah pengoperasian semula kilang itu, hari ini.

Dakwanya, penduduk tidak akan berputus asa sehingga kilang berkenaan dipindahkan ke kawasan perindustrian berat.

“Kerja peleburan plumbum tidak sesuai dijalankan di kawasan kampung kerana ia terlalu hampir dengan penempatan. Sekiranya perkara ini diteruskan, penduduk berdepan risiko kesihatan jangka panjang.

“Jadi, mengapa MDKL boleh mengeluarkan lesen sementara difahamkan untuk dua bulan, tamat pada 19 Ogos sedangkan Kerajaan Negeri sudah mengarahkan supaya lesennya dibatalkan?

“Sepatutnya MDKL tunggu keputusan kajian oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Mineral dan Geosains, Pusat Kesihatan Daerah dan beberapa agensi lain,” katanya.

Mohd Nazri berkata, penduduk masih menunggu keputusan kajian alam sekitar dan kesihatan yang dilakukan agensi berkenaan berhubung perkara itu.

Sementara itu, jurucakap MDKL ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 5:39 PM
DEMONSTRASI aman penduduk Kampung Jenjarom. FOTO Sairien Nafis.