Hairulazim Mahmud


“SAYA tak fikir panjang lagi apabila dimaklumkan PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) mahu melakukan pemindahan hati anak saya,” kata Mohd Idzzuan Shaarani, 30, bapa kepada Idzyraf Alsheeraz, 14 bulan.

Idzyraf berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati oleh sekumpulan pakar perubatan daripada PPUM kelmarin.

Mohd Idzzuan berkata, pihaknya sebelum itu sudah berkira-kira termasuk menghantar anak tunggal mereka ke Hospital Renji, China yang terkenal sebagai hospital terbaik dunia dalam bidang pemindahan hati.

“Saya dan isteri, Amirah Izzati Hamidi sudah melakukan pencarian dan kajian apa yang perlu dilakukan selepas hati anak saya disahkan mempunyai penyakit hati kronik atau Biliary Atresia sebelum pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) memaklumkan bahawa PPUM akan melakukan pembedahan itu di sini.

“Syukur alhamdulillah, sebagai bapa sudah pasti saya mahukan yang terbaik untuk anak saya dan bersetuju serta yakin PPUM mampu melakukannya apatah lagi dimaklumkan bahawa pasukan dari Hospital Renji akan memantau sendiri pembedahan berkenaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaya (UM) dengan Fakulti Perubatan Universiti Shanghai Jiao Tong (SJTUSM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Idzzuan berkata, isterinya Amirah, 28, mendermakan 30 peratus hatinya bagi menyelamatkan anak mereka itu.

Sehubungan itu, beliau amat menghargai pengorbanan Amirah yang mengongsikan hampir sebahagian hatinya dengan puteri tunggal mereka yang sebelum itu turut menjalani prosedur ‘Kasai’ iaitu pembedahan bagi membuang duktus hempedu serta penyambungan bahagian usus terus ke hati.

“Operasi ‘Kasai’ itu gagal apabila hati anak saya semakin teruk dan isteri saya yang paling sesuai mendermakan sebaagian hatinya kepada Idzyraf.

“Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dengan pembedahan ini selain penderma-penderma yang menanggung kos pembedahan sebanyak RM120,000,” katanya.

Beliau bersyukur kerana pembedahan itu berjaya dilakukan di dalam negara berbanding di China yang kosnya tiga hingga lima kali ganda lebih mahal.


MOHD Idzzuan dan Amirah Izzati selepas pembedahan berjaya. FOTO ihsan PPUM)

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Prof Dr Kamila Ghazali, Dekan Fakulti Perubatan UM Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Canselor SJTUSM Prof Guoqiang Chen.

Kelmarin, sekumpulan pakar perubatan PPUM dengan kerjasama pakar dari Hospital Renji, China melakar semula sejarah perubatan tempatan dalam bidang pembedahan pemindahan hati kanak-kanak membabitkan penderma yang masih bernyawa.

Pasukan diketuai Prof Madya Dr Yoong Boon Koon itu turut berjaya melakukan pembedahan yang sama kepada seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun semalam.

Dua pesakit kanak-kanak itu adalah yang pertama menjalankan pembedahan pemindahan hati di PPUM.

Kerjasama pemindahan hati kanak-kanak terbabit termeterai melalui MoU yang ditandatangani oleh PPUM dengan Renji Hospital pada 17 April lalu.

Dalam pada itu perjanjian itumembawa sekumpulan 16 profesional perubatan PPUM yang terdiri daripada pakar bedah pediatrik, pakar bius, pakar radiologi, pakar intervensi pediatrik, pakar patologi dan jururawat menghadiri latihan dan kursus secara praktikal dalam pembedahan pemindahan hati kanak-kanak di Renji Hospital, Shanghai Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 8:13 PM
PAKAR bedah PPUM ketika melakukan pembedahan pemindahan hati terhadap Idzyraf Alsheeraz, 14 bulan. FOTO ihsan PPUM