HANTARAN FB yang tular.
Noor Hidayah Tanzizi


POLIS menafikan berlakunya sindiket penculikan membabitkan kanak-kanak di Kampung Lubuk Pusing, Changkat Kruing, Manjung, kelmarin, seperti yang tular di Facebook (FB).

Hantaran status yang tular itu mendakwa orang awam berjaya menumpaskan sindiket penculikan dan aktiviti itu beroperasi di sekitar daerah Manjung.

Ia mendakwa orang awam membuat tangkapan selepas saksi melihat dua kereta berlegar-legar di kawasan tertentu lalu menangkap budak kecil.

Hantaran status itu turut mendakwa hanya sebuah kereta berjaya ditahan, manakala sebuah lagi berjaya melarikan diri dan turut meminta ibu bapa menjaga anak masing-masing.

Mesej yang tular itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, dakwaan kejadian penculikan kanak-kanak yang tular itu adalah tidak benar.

Menurutnya, tiada sebarang kejadian atau sindiket berkenaan yang berlaku di Changkat Keruing atau di daerah Manjung.

“Sebaliknya, tangkapan yang dilakukan polis adalah membabitkan kes kecurian sarang burung dan dadah di dua lokasi berbeza, bukannya kes culik seperti didakwa.

“Tangkapan membabitkan kes dadah dilakukan anggota Balai Polis Beruas manakala untuk kes curi sarang burung oleh Balai Polis Pantai Remis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 9:31 AM