ZAKIR Naik menyampaikan ceramah agama di Kota Bharu. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail


PENDAKWAH terkenal, Dr Zakir Naik memuji keberanian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tegas membantah kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dalam isu konflik di Timur Tengah.

Zakir berkata, Dr Mahathir melakukan kritikan berterusan terhadap Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) berhubung serangan terhadap Iraq.

Beliau melahirkan rasa bangga dengan Dr Mahathir yang menjadi seorang daripada beberapa pemimpin Islam yang mempunyai keberanian sebegitu.

“Beliau (Dr Mahathir) mewujudkan Tribunal Jenayah Perang (Kuala Lumpur) pada 2011 yang memutuskan bahawa UK dan Amerika Syarikat membuat bukti palsu bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran.

“Tiada negara Muslim lain yang mempunyai keberanian untuk melakukan perkara itu kecuali Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Dakwah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Mengulas lanjut, Zakir berkata, selepas lima tahun prosiding tribunal itu berjalan mendapati tindakan Amerika Syarikat dan UK yang menyerang Iraq pada 2003 bersandarkan maklumat tidak tepat.

“Dengan keputusan tribunal itu, jika George W Bush dan Tony Blair menjejakkan kaki di Malaysia, mereka akan ditangkap. Tidak ada negara Islam di dunia yang melakukannya, kecuali Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:13 PM