ANGGOTA STORM membawa keluar mangsa yang parah selepas tergelincir ketika sedang mendaki di tingkat 19 air terjun. FOTO ihsan bomba Pahang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA belas anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengambil masa lebih empat jam untuk membawa keluar seorang lelaki yang dilaporkan parah di Air Terjun Jerangkang di Maran, hari ini.

Mangsa, Mohamad Izha Mohd Saai, 30, dipercayai tergelincir ketika sedang mendaki di tingkat 19 air terjun itu sebelum terjatuh di batu dari ketinggian kira-kira tujuh meter.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.28 petang semalam memaklumkan seorang lelaki berusia 30 tahun patah pinggang selain luka di badan dan muka selepas tergelincir ketika melakukan aktiviti di kawasan itu.

“Pada mulanya kita sudah menggerakkan helikopter untuk mengambil mangsa namun keadaan kawasan itu tidak mengizinkan sebelum memutuskan menyelamatkan mangsa menggunakan laluan darat.

“Pegawai dan anggota STORM tiba ke kawasan hutan rekreasi pada jam 10 malam dan bergerak masuk untuk mengambil mangsa sejam kemudian. Kira-kira jam 3 pagi baru mangsa dibawa keluar dari kawasan air terjun itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ketika diselamatkan mangsa ditemui dalam keadaan lemah sebelum dibawa menggunakan ambulans ke hospital.

Nor Hisham menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke kawasan rekreasi itu supaya lebih berwaspada dan menjaga keselamatan diri terutama ketika melalui kawasan batu licin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:45 PM