Kecederaan di belakang badan dan muka yang dialami Amirul ketika bergelut dengan dua lelaki ketika cuba melarikan ‘Ysuku’ miliknya di Phileo Damansara semalam. Foto Ihsan Amirul
Khairul Najib Asarulah Khan


“SAYA sudah buat laporan dan juga serahkan telefon bimbit yang dipercayai milik lelaki yang cuba melarikan ‘Ysuku’ kepada polis,” kata penunggang Grab Food yang hanya mahu dikenali sebagai Amirul, 22.

Dia yang menunggang Yamaha Y15zr atau lebih dikenali dengan ‘Ysuku’ terpaksa bergelut dengan dua lelaki yang cuba menyamun motosikalnya di Phileo Damansara, Kuala Lumpur pada 2.53 petang.

Menurutnya, telefon bimbit berkenaan ditemui orang ramai yang datang membantunya selepas kedua lelaki terbabit melarikan diri.

Katanya, ada seorang daripada mereka menghulurkan telefon bimbit yang dijumpai berdekatan lokasi itu.

“Saya syaki telefon bimbit itu milik seorang daripada lmereka yang terjatuh ketika pergelutan kerana gambar dalam telefon berkenaan seakan sama dengan mukanya,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Amirul berkata, dia sudah membuat laporan polis dan menyerahkan telefon bimbit berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut bagi menjejaki mereka itu.

“Saya masih trauma dengan kejadian itu, ia pertama kali menimpa saya sejak menjadi penghantar makanan empat bulan lalu.

Menurutnya, sepanjang perjalanan itu dia tidak menyedari diekori dua lelaki berkenaan sebelum motosikalnya dihimpit dan dia dipukul dengan ‘pad-lock’ motosikal.

“Saya terkejut tetapi memberanikan diri untuk mengelakkan motosikal kesayangan dicuri mereka.

“Disebabkan pergelutan itu, saya dipukul beberapa kali dan menyebabkan mengalami lebam di bibir, tangan, telinga serta belakang badan.

“Buat masa sekarang, saya masih trauma dengan tragedi itu dan akan pulang ke kampung di Tanjong Karang, Selangor malam nanti.

“Saya akan berhenti sebagai penunggang Grab Food buat sementara dan berehat di kampung untuk seketika,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dalam usaha mengesan suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Portal ini turut melaporkan mengenai kejadian berkenaan dan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian itu juga tular di media sosial.

Berita berkaitan

Demi 'Ysuku'... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 6:58 PM