AL-SULTAN Abdullah berkenan bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Adiladha. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan, bersama ribuan jemaah.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di masjid itu, jam 8.15 pagi.

Seri Paduka berdua diiringi anakanda yang juga Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Turut mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; barisan Exco, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan.

Al-Sultan Abdullah kemudian menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan imam Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Mohd Khalil Mohd Zari.

Baginda bersama jemaah kemudian bertakbir raya sebelum mendengar bacaan khutbah Aidiladha, disampaikan khatib bertugas, Datuk Badli Shah Alauddin.


AL-SULTAN Abdullah berkenan menyaksikan ibadah korban selepas menunaikan solat Adiladha. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Al-Sultan Abdullah kemudian beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang bersalaman dengan baginda.

Baginda kemudian berkenan berangkat ke kawasan penyembelihan lembu korban bersama jemaah.

Sementara itu, khutbah solat sunat Aidiladha bertajuk ‘Ibadah Haji Menyatukan Ummah’ mengingatkan umat Islam di negara ini supaya bersatu demi kepentingan ummah.

Khatib turut mengingatkan umat Islam menjadikan Aidiladha sebagai medan mengukuhkan perpaduan umat Islam serta berhati-hati dengan ancaman

liberalisme dan pluralisme yang sedang menyerang masyarakat Islam hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 10:58 AM