MUHAMMAD Syukur melihat Awang Jr direbah sebelum disembelih di Kampung Banggol Tok Badir. FOTP Ihsan Pembaca
Ahmad Rabiul Zulkifli


MUHAMMAD Syukur Khamis, 14, yang digelar ‘Mowgli Malaysia’ antara penduduk yang tidak melepaskan peluang menjalankan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha, hari ini.

Remaja dari Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu itu bersama 50 penduduk bergotong-royong menjalankan ibadah korban membabitkan seekor kerbau seberat 250 kilogram.

Kerbau yang dipanggil Awang Jr itu antara haiwan kesayangan Syukur yang disembelih oleh Iman Masjid Banggol Katong, Muhammad Hamzah, 60, di Kampung Banggol Tok Badir pada 10.30 pagi, hari ini.

Syukur berkata, Awang Jr antara tiga kerbau kesayangan yang disembelih sempena Hari Raya Aidiladha, pada tahun ini.

“Jika diikutkan sayang, memang berasa sangat sayang tetapi ibadah korban lebih penting daripada semua itu.

“Awang Jr dan dua kerbau itu memang jinak serta manja kerana sejak daripada kecil dijaga sendiri oleh saya.

“Hari ini kami mengorbankan Awang Jr dulu, esok dan lusa giliran dua kerbau itu pula,” katanya.

Tambahnya, sejak daripada usia 12 tahun dia membantu bapa bersama lima adik beradik lelakinya yang lain menguruskan ternakan korban pada Aidiladha.

“Kami menjual lapan kerbau yang matang untuk dijadikan haiwan korban pada tahun ini dan sekarang tinggal 115 kerbau lagi di kandang.

“Saya sebolehnya akan turut serta dalam proses merebahkan ternakan untuk disembelih dan melapah.

“Lagipun ramai penduduk yang mengambil bahagian ke atas kerbau meminta saya turut serta dalam proses berkenaan hari ini,” katanya.

Sementara itu abangnya, Muhamad Alias Khamis, 29, berkata, semua kerbau yang diternak bapanya itu lebih mesra dengan adiknya berbanding orang lain.

“Apabila Syukur turut serta dalam proses penyembelihan itu, segala urusan menjadi lancar.

“Kerbau senang untuk dibawa ke tempat sembelih dan proses merebahkan kerbau sebelum disembelih juga menjadi lebih senang.

“Segala urusan menyembelih, melapah serta membahagikan daging kerbau dapat dijalankan dengan lancar dan hanya mengambil masa selama sejam untuk diselesaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 3:45 PM