LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) meminta masyarakat tidak memanipulasi insiden kematian, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, bagi membangkitkan sentimen perkauman.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, pelbagai spekulasi boleh menjejaskan perpaduan dan ketenteraman masyarakat di negara ini

Katanya, PDRM sudah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi mengenai punca kejadian itu.

“Tangkapan juga sudah dibuat ke atas suspek yang terbabit dan polis merayu saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“PDRM menasihati masyarakat tidak menyalahgunakan rangkaian komunikasi dengan cara yang boleh memecahbelahkan serta menganggu gugat perpaduan antara kaum lantas mencetuskan polemik perkauman dan keagamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Syed Muhammad Danial, 29, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre, kelmarin.

Ia selepas berlaku pergelutan dengan seorang lelaki di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Persimpangan Southville City, dekat Bangi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek berusia 40 tahun selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Difahamkan, kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar-mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial.

Berita berkaitan

Beberapa saksi tampil beri keterangan

Beberapa saksi tampil beri keterangan

Air mata Qistina iringi pemergian suami

'Kenapa perlu hingga meragut nyawa?'

Provokasi jadi punca... [METROTV]

Kenapa la tak bincang elok-elok...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 2:15 PM