Bekalan air yang dipam di Sungai Muar disalurkan ke Empangan Durian Tunggal. FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan


KERAJAAN Johor memberi kebenaran kepada

Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka untuk mengepam tambahan 60 juta liter (j/l) air dari Sungai Muar, Johor bagi menampung keperluan bekalan air di negeri itu.

Pengarah BKSA negeri, Faizah Abdul Rahman @ Sulaiman berkata, tambahan bekalan air itu menjadikan bekalan air yang dipam dari Sungai Muar meningkat kepada 220 j/l sehari berbanding 160 j/l sehari sebelum ini.

“Bermula semalam, kerajaan Johor memberi kebenaran untuk Melaka mengepam sehingga 220 j/l sehari dari Sungai Muar melalui Rumah Pam Grisek bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi khususnya pada musim kemarau.

“Dari Rumah Pam Grisek ini, bekalan air ini disalurkan pula ke Empangan Durian Tunggal. Setakat ini belum dapat dipastikan sehingga bila tempoh tambahan pengepaman air ini akan dijalankan.

“Kerjasama baik antara dua kerajaan negeri ini secara tidak langsung dapat menampung keperluan bekalan air di Melaka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai paras air terkini di tiga empangan utama di negeri itu, Faizah berkata, pihaknya tidak boleh memberikan butiran lanjut tetapi mengesahkan bekalan air masih terkawal.

“Kalau kita lihat, hari ini hujan. Ini secara tidak langsung dapat menstabilkan bekalan air di empangan.

“Kita juga sudah mengaktifkan beberapa kolam alternatif bagi memastikan bekalan air terus mencukupi,” katanya.

Untuk rekod Melaka mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan bagi menampung keperluan bekalan air di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:37 PM