Yusri Abdul Malek


HUJAN lebat yang melanda sekitar kawasan khemah yang menempatkan hampir 2.5 juta jemaah haji untuk melaksanakan ibadah bermabit dan melontar di ketiga-tiga jamarat menyebabkan ada khemah yang bocor dan bekalan elektrik terputus.

Hujan mulai lebat kira-kira jam 4 petang semalam waktu tempatan atau 9 malam waktu Malaysia ketika kebanyakan jemaah baru selesai menunaikan solat Asar di dalam khemah.

Sebelum ini, ramai kalangan jemaah yang baru pulang melontar untuk hari pertama hari tasyriq berada di luar khemah sambil berbual sesama mereka.

Ada juga mengambil kesempatan melawat rakan dari maktab lain.

Cuaca pada sebelah pagi adalah panas hingga mencecah hampir 40 darjah celsius sebelum cuaca tiba-tiba mendung diikuti hujan lebat pada sebelah petang.

Banyak khemah yang bocor hingga menyebabkan permaidani yang digunakan untuk alas tidur basah.

Bekalan elektrik juga terputus tetapi berjaya dipulihkan.

Keadaan basah itu menyebabkan ada jemaah yang terpaksa keluar dari khemah dan mencari kawasan lain untuk berteduh.

Bagaimanapun, jemaah tiada pilihan kerana khemah yang disediakan hanya cukup untuk jumlah kuota yang diberikan.

Malah, ada yang mengambil keputusan untuk bermabit di sekitar kawasan jamarat bagi membolehkan mereka segera melontar sebaik azan Subuh berkumandang untuk lontaran hari ke 12 Zulhijjah.

Hujan lebat turut berlaku ketika jemaah wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah atau Sabtu dan sekali lagi berlaku pada Isnin ketika jemaah bermabit selama tiga hari di Mina.

Walaupun hujan lebat dan berlaku limpahan air tetapi ia mulai surut sejam selepas hujan berhenti.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 3:43 PM
BANJIR kilat yang berlaku di Mina. FOTO Yusri Abdul Malek