Khairul Najib Asarulah Khan


TINDAKAN lelaki yang menunggang motosikal melintasi bawah treler mengundang kemarahan netizen.

Lelaki itu yang merekod aksinya dalam video berdurasi 30 saat tular di media sosial dan dianggap mencari nahas selain membahayakan pengguna jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, pihaknya sedang mengesan lokasi kejadian dan nombor pendaftaran motosikal itu.

Menurutnya, buat masa ini tiada laporan berhubung kejadian diterima.

“Kita minta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil kepada balai polis trafik berhampiran untuk bantu siasatan.

“Lelaki itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara bahaya.

“Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:39 PM
RAKAMAN yang tular di media sosial.