KEADAAN kebakaran belukar gambut di Taman Kopodim Matang, Kuching. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


KEADAAN berjerebu di Sarawak semakin membimbangkan ekoran kebakaran hutan dan belukar yang bertambah serius ketika ini.

Sejak 1 Ogos hingga hari ini, sebanyak 370 kes dilaporkan dengan jumlah tertinggi harian dicatatkan semalam iaitu 65 kes.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, sehingga petang semalam, keseluruhan kawasan hutan dan belukar seluas 335 hektar terjejas akibat kebakaran.

Beliau berkata, berdasarkan pecahan mengikut bahagian pentadbiran, Kuching mencatatkan jumlah kes kebakaran belukar tertinggi semalam dengan 19 kes, diikuti Sibu (11), Samarahan (7), Mukah (6), Betong (4), Sri Aman (3), Miri dan Bintulu masing-masing dua kes manakala Sarikei satu kes.

“Operasi pemadaman berterusan dijalankan di tujuh kawasan dengan Kompleks Kebajikan Hamidah, di Kuala Baram, Miri mencatat operasi paling lama apabila memasuki hari ke-13, semalam.

“Pemadaman di Kampung Sedi, Pulau Bruit, dalam Bahagian Mukah pula memasuki hari ketujuh,” katanya sambil memaklumkan secara purata pihaknya menerima 30 laporan kebakaran hutan dan belukar setiap hari.

Operasi lain yang masih diteruskan ialah di Taman Harmoni, Sri Aman dan Jalan Marudi-Miri yang masuk hari kelima manakala Kampung Sangki, Simunjan; Kampung Bungan, Mukah dan Kampung Tuie, Betong masuk hari keempat.

“Kebakaran hutan dan belukar itu turut mengancam kediaman berdekatan dengan sebuah rumah di Kampung Sedi, Pulau Bruit musnah sepenuhnya akibat api yang merebak dari belukar berdekatan manakala di sebuah rumah di Kampung Sangki, Simunjan turut mengalami kebakaran kira-kira 10 peratus,” katanya.

Sementara itu, kualiti udara di Miri terus terjejas apabila satu stesen di bahagian itu mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya iaitu ILP Miri yang mencatat bacaan 344 manakala stesen SK Baram 2 mencatat kualiti udara sangat tidak sihat iaitu 297 pada jam 11 pagi ini.

Sri Aman mencatat kualiti udara tidak sihat apabila bacaan IPU mencecah 136.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:30 AM