Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TIGA peniaga ikan di Pasar Awam Parit Buntar, Parit Buntar kerugian apabila sembilan tong polisterin berisi ikan segar, dilarikan dua lelaki, awal pagi semalam.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki menutup muka dengan baju memunggah tong ikan berkenaan ke dalam sebuah pacuan empat roda

Pada kejadian 3.30 pagi itu, tong berisi ikan terbabit yang berharga lebih RM1,000 diletakkan di bawah meja peniaga, sebelum dilarikan dua suspek berkenaan.

Kedua-dua suspek dilihat bergilir-gilir mengangkat tong polisterin itu ke bahagian belakang kenderaan mereka kemudiannya beredar dari pasar itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, polis kini berusaha mengenal pasti dan mengesan dua suspek berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 12:01 PM
RAKAMAN CCTV ketika kejadian. FOTO Ihsan Pembaca