LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Siraj Mohd Zaini


SERAMAI 12 individu tampil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung kemalangan membabitkan Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir dan seorang suspek lelaki di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Southville City dekat Bangi, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya juga akan merakamkan keterangan tiga lagi individu berkaitan kes terbabit pada petang ini.

“Seramai 12 saksi awam yang dikatakan berada di lokasi ketika kejadian berlaku dan ada juga saksi yang membuat laporan polis mengenai kes terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, pihaknya sudah menerima hasil bedah siasat Syed Muhammad Danial, 29, namun enggan mendedahkannya kepada umum bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan polis.

“Suspek masih dalam tahanan reman sehingga 17 Ogos ini dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek berusia 40 tahun selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Difahamkan kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar-mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Fadzil berkata, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Katanya, suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial.

Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam.

Berita berkaitan

Sedih sangat! - Raja Permaisuri Agong

Dua adik ipar bagi keterangan

Beberapa saksi tampil beri keterangan

Air mata Qistina iringi pemergian suami

'Kenapa perlu hingga meragut nyawa?'

Provokasi jadi punca... [METROTV]

Kenapa la tak bincang elok-elok...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 1:53 PM