ABDULLAH (tengah) bersama sebahagian ahli PVATM Pahang menunjukkan salinan laporan polis berkaitan kenyataan ahli perniagaan memperlekehkan anggota tentera di IPD Kuantan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Shahrinnahar Latib


PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang memohon kerakyatan ahli perniagaan, Koon Yew Yin dibatalkan berikutan kenyataannya memperlekehkan pengorbanan anggota tentera di negara ini.

Wakilnya, Abdullah Seman berkata, walaupun Koon sudah meminta maaf, pihaknya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.

“Kami juga memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah campur tangan dalam isu ini kerana ia membabitkan isu maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah naungan Tuanku.

“Kenyataan sedemikian adalah satu penghinaan dan bersifat menghasut supaya warga tentera dipandang lekeh di mata rakyat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Sebelum itu, sebanyak tiga laporan polis dibuat PVATM terhadap Koon yang meminta polis melakukan siasatan terhadap kenyataan dikeluarkan ahli perniagaan itu.

Terdahulu, pada 12 Ogos lalu, Koon menerusi satu tulisan dalam blognya bertajuk ‘Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita’ antara lain berkata, ramai anggota tentera hanya makan dan tidur.

Malah katanya, ramai di antara mereka juga tidak pernah menembak dan mencadangkan supaya anggota tentera dihantar bertugas di ladang FELDA.

Dalam tulisan sama, ahli perniagaan itu turut menyuarakan pandangan berkaitan saiz penjawat awam yang besar mengakibatkan perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat setiap tahun dengan membuat perbandingan dengan nisbah penjawat awam di negara seperti Singapura, Indonesia, Korea, China, Jepun, Russia dan Britain.

Kenyataan ini mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan kenyataan itu menghina ATM.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan sudah meminta maaf atas kenyataan itu dengan menyifatkan mungkin caranya ketika mengemukakan cadangan mengenai pengurangan kakitangan awam terutama anggota tentera tidak disukai setengah pihak.

Abdullah berkata, PVATM cawangan Pahang mempunyai kira-kira 6,000 ahli akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap ahli perniagaan itu.

“Kita mahu tindakan tegas diambil terhadap beliau demi menjaga martabat dan maruah ATM supaya menjadi pengajaran serta ingatan kepada generasi akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 10:12 PM