MOHAMAD Sabu (dua dari kanan) merasmikan gimik pelancaran kempen kibarkan jalur gemilang sempena majlis Perhimpunan dan Pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Kementerian Pertahanan. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Muhaamad Hafis Nawawi


SESIAPA sahaja yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianggap musuh negara dan rakyat, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ATM terbuka menerima kritikan, pandangan dan diberi tunjuk ajar tetapi jangan sehingga menghina.

Menurutnya, perkara itu (menghina) dianggap jijik dan tidak boleh diterima.

“Reaksi netizen ketika ini berkaitan isu penghinaan kepada ATM ini juga dilihat lebih kepada perkauman kerana apabila orang Melayu Islam menghina, netizen diam, namun apabila orang Tionghua menghina, netizen terus melenting.

“Bagi kita sesiapa sahaja yang menghina ATM tanpa mengira kaum dianggap musuh negara dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019,di Dataran Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohamad berkata, kementerian menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan atau tidak ke atas ahli perniagaan, Koon Yew Yin.

“Laporan polis sudah dibuat dan terserah pada pihak polis atas kebijaksanaan mereka untuk mengambil tindakan atau tidak.

“Kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan negara yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan anggota tentera yang sanggup menggadai nyawa mereka jadi marilah sama-sama berdiri teguh di belakang mereka,” katanya.

Sebelum ini, ahli perniagaan, Koon Yew Yin mengeluarkan kenyataan memperlekehkan pengorbanan anggota tentera di negara ini sebelum beliau kemudian memohon maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 10:30 AM