SEBAHAGIAN ahli PVATM Cawangan Masjid Tanah menyuarakan bantahan melalui laporan polis dibuat wakil mereka. FOTO HASSAN OMAR


PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Masjid Tanah, hari ini, membuat laporan polis berhubung kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang disifatkan menghina pasukan tentera.

Setiausahanya, Roslan Abdullah, 68, membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah jam 2.30 petang dengan diiringi kira-kira 500 ahli persatuan itu.

Roslan berkata, kenyataan Koon bukan setakat menggambarkan beliau tidak menghargai jasa dan pengorbanan anggota dan bekas tentera, malah mencabar kewibawaan ATM sebagai pasukan yang memelihara keamanan dan kedaulatan negara.

“Kami menggesa polis menjalankan siasatan terhadap Koon kerana bersikap biadap dan celupar terhadap ATM, termasuk kami yang sudah bersara daripada pasukan,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, pada 12 Ogos lalu, Koon menerusi satu tulisan dalam blognya bertajuk ‘Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita’ antara lain berkata, ramai anggota tentera hanya makan dan tidur.

Malah katanya, ramai di antara mereka tidak pernah menembak dan mencadangkan supaya anggota tentera dihantar bertugas di ladang FELDA.

Kenyataan itu mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan sebagai menghina ATM.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan sudah meminta maaf atas kenyataan itu.

Sementara itu, Ahli PVATM Masjid Tanah, Bahari Ali, 59, berkata Koon tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu kerana kemajuan ekonomi negara tidak mungkin tercapai tanpa keamanan.

“Dia (Koon) seronok menikmati kekayaan selepas kami menggadai nyawa dalam hutan menentang pengganas komunis sekitar 1970-an dan 1980-an,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:28 PM