MOHD Redzuan (kiri) berbual dengan peserta selepas merasmikan program pelancaran. FOTO Fathil Asri
Syaherah Mustafa

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan menggalakkan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berkecimpung dalam industri sarang burung walit yang boleh memberi pulangan lumayan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata pihaknya sedia membantu golongan itu dengan menyediakan pelbagai inisiatif seperti kelengkapan mesin dan akademi bagi memberi pendedahan kaedah perusahaan sarang burung walit.

Katanya, industri itu terbukti mampu membantu menambah pendapatan buat golongan B40 dan difahamkan mereka dapat menjana pendapatan sebanyak RM1,500 sehingga RM2,000 seminggu.

“Setakat ini masih belum ada lagi bumiputera yang berani mengetengahkan industri sarang burung walit secara besar-besaran sehingga menembusi pasaran luar.

“Kementerian sentiasa bersedia menampung setiap kelemahan di kalangan pengusaha dan akan membantu untuk memperkasakan hasil keluaran bagi memenuhi syarat eksport ke luar negara yang ditetapkan.

“Jika dulu golongan B40 tidak diberi pendedahan dalam industri ini, namun kini kita cuba membantu, ditambah dengan adanya rangkaian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan SME Corporation Malaysia (SME Corp),” katanya pada sidang media selepas Program Pelancaran Usahawan DNA Bersatu Negeri Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Seri Muhamad Suparadi Md Noor.

Mengulas berhubung sekatan sarang burung walit Malaysia ke negara luar, Mohd Redzuan berkata, perkara itu adalah di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani namun pihaknya bersedia untuk membantu usahawan menepati syarat eksport negara berkenaan.

“Jika ada lebih banyak agensi yang boleh membantu sudah pasti satu jaringan perniagaan yang meluas dapat dibentuk dan mewujudkan ekosistem yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 11:50 AM