NORA Anne bersama ibunya. FOTO AFP.


POLIS mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan mahupun dimaklumkan mengenai bedah siasat kedua terhadap mayat Nora Anne Quoirin daripada mana-mana pihak.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, sehingga kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dimaklumkan untuk proses berkenaan selepas bedah siasat pertama selesai, 14 Ogos lalu.

“Kami tiada maklumat atau dimaklumkan mengenai perkara itu (bedah siasat kali kedua),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Daily Mirror melaporkan ibu bapa Nora Anne dipercayai meminta diadakan proses bedah siasat kedua terhadap anak sulung mereka.

Difahamkan, ketika ini Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan suaminya Sebastian Marie Philipe, 47, sedang berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan pakar patologi tidak terlepas sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan punca kematian remaja berusia 15 tahun itu.

Mereka dilapor meminta bedah siasat itu dilakukan di Britain atau Perancis yang mana siasatan polis mengenai kes itu sedang dijalankan.

Malah, mayat remaja itu sudah dituntut dan difahamkan terus dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah malam tadi.

Nora Anne yang ditemui selepas 10 hari hilang di Pantai, Seremban disahkan meninggal dunia berpunca daripada kebocoran usus akibat kebuluran dan tekanan berpanjangan yang menyebabkan pendarahan dalaman.

Mohamad dilaporkan berkata, tiada luka ditemui pada badan Nora Anne dan hanya terdapat calar kecil pada kaki yang tidak menjurus kepada punca kematian selain tiada kesan dirogol atau perbuatan jenayah lain seperti dilarikan atau diculik.

Sebelum itu, Pejabat Pendakwa Raya Perancis dilaporkan membuka siasatan jenayah terhadap kematian remaja Ireland itu.

Ibu Nora berasal dari Belfast, Ireland manakala bapanya adalah warga Perancis.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 3:07 PM