BELUM reda kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Mac lalu dan pencemaran udara di sekitar Pasir Gudang, Jun lalu, penduduk Kampung Perigi Acheh digemparkan apabila dua sungai di kampung berkenaan bertukar hitam dan berbau busuk.

Penduduk mendakwa Sungai Kopok dan Sungai Daing yang menjadi sumber rezeki kira-kira 60 nelayan kampung kini tercemar teruk menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan akibat aktiviti pembuangan sisa secara haram di hulu Sungai Daing, selain aliran sisa kimia dari Sungai Kim Kim yang masuk ketika air pasang surut.

Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon, 56, berkata Sungai Daing dan Sungai Kopok yang terletak di kampung berkenaan tercemar sejak 1990-an, namun semakin kritikal sejak April lalu.

Katanya, kedua-dua sungai berkenaan kini bertukar kehitaman, berminyak, berbuih dan berbau busuk sejak Julai lalu menyebabkan kira-kira 60 nelayan di kampung berkenaan hilang punca pendapatan apabila hidupan sungai semakin pupus.

“Tahun ini sahaja sebanyak 12 kali kejadian hidupan sungai terutama ikan dan udang mati terapung dipercayai akibat pencemaran di Sungai Daing dan Sungai Kopok.

“Bermula Januari lalu sehinggalah sekarang bangkai ikan dan udang terapung menyebabkan nelayan kehilangan punca pendapatan dan terpaksa keluar ke kawasan lebih jauh untuk mendapatkan hasil.

“Lebih menyedihkan air Sungai Daing dan Sungai Kopok kini hitam likat dengan kesan minyak serta berbuih menyebabkan sungai yang dulu kaya dengan hidupan seperti udang, siakap, ketam dan siput kini pupus sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Jeti Sungai Kopok, Pasir Gudang, hari ini.

Pada masa sama, Othman menunjukkan kawasan laluan tikus digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk membuang sisa kimia di kampung itu dengan penemuan hampir 100 bungkusan atau kampit termasuk bahan berserbuk didakwa sisa toksik sejak semalam.

Beliau berkata, sebaik menemui bahan itu, penduduk membuat laporan polis dan kawasan berkenaan terletak hanya 500 meter dari Sungai Kopok dan sangat membimbangkan mereka.

“Melihat keadaannya (lokasi), ia seperti sudah lama wujud berikutan banyak bahan buangan di sini. Kami syak aktiviti pembuangan dilakukan pada waktu malam kerana ia tidak disedari penduduk sehinggalah semalam.

“Sehubungan itu, kami merayu pihak berkuasa menutup laluan tikus berkenaan bagi mengelak ia terus digunakan sebagai tempat pembuangan sisa kimia oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 9:37 PM
OTHMAN (kiri) bersama penduduk menunjukkan air sungai berwarna hitam berhampiran kawasan lapang yang terdapat beberapa kampit sisa buangan kilang berhampiran Sungai Daing, di Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang, hari ini. FOTO Zain Ahmed.