LELAKI warga Bangladesh yang bersembunyi di bawah tangga di sebalik timbunan kotak stok minuman di kedai serbaneka di Jalan Gurdwara, Georgetown, ditahan kerana tiada dokumen perjalanan. FOTO ihsan JIMPP.
Hadzlihady Hassan


TAKUT dicekup, seorang lelaki warga Bangladesh sanggup bersembunyi sebalik timbunan kotak stok minuman di sebuah kedai serbaneka di Jalan Gurdwara, Georgetown, semalam.

Bagaimanapun, dia terkantoi apabila anggota Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang (JIMPP) yang melakukan operasi terdengar bunyi lelaki berkenaan terbatuk sebelum mendapati dia bersembunyi di bawah tangga dengan berselindung di sebalik timbunan kotak.

Hasil pemeriksaan lanjut, lelaki berusia 30-an itu didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas sah.

Pengarah JIMPP, Muhamad Husni Mahmud berkata, dalam operasi bermula 3 petang itu pihaknya menyerbu premis berkenaan dan memeriksa 19 pekerja warga asing.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima daripada mereka iaitu lelaki warga Bangladesh termasuk yang cuba menyembunyikan diri itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah.

“Selain itu, kami turut melakukan operasi di dua kedai makan sekitar bandar ini dan hasilnya tiga lelaki dari Myanmar, Indonesia serta Bangladesh dan seorang wanita Indonesia ditahan.

“Semua mereka didapati tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan itu dibawa ke Depot Imigresen Juru bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan operasi secara berterusan bersama pihak berkuasa tempatan bagi membendung dan menangani masalah pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:52 PM