WAN Rahimi memasang Jalur Gemilang di bumbung rumahnya.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Sebut sahaja apa yang tidak pernah dilakukannya bagi menunjukkan rasa cinta dan kasih terhadap hari kemerdekaan negara.

Daripada menghias gerai makan diusahakan, mencantik dan menghias kenderaan hingga menjahit busana bertemakan Jalur Gemilang sudah dilakukan Wan Rahimi Wan Mokhtar, 57, sejak hampir 20 tahun lalu.

Biarpun berhabis puluhan ribu ringgit dalam tempoh itu, baginya ia satu kepuasan apabila dapat menzahirkan kecintaan terhadap tanah air serta mengenang jasa dan pengorbanan tokoh negara yang berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan.

Bapa dua cahaya mata itu berkata, sebelum ini pada 2007, dia membelanjakan kira-kira RM20,000 bagi mengubah suai dan menghias dua kenderaannya dengan konsep patriotisme.

Katanya, kereta mini Austin 1000cc dan van Subaru 1000cc miliknya itu dicat dengan warna Jalur Gemilang sepenuhnya hinggakan dua kenderaannya mendapat jolokan nama kereta dan van merdeka.

“Masih ramai beranggapan kemerdekaan hanya pada 31 Ogos setiap tahun sedangkan hakikatnya kemerdekaan itu berterusan selagi negara kita tidak dijajah.

“Untuk menyampaikan mesej ini, saya tidak yakin berkesan jika sekadar mengibar bendera di rumah atau gerai sahaja kerana hanya orang yang lalu di situ melihatnya.

“Tetapi, jika saya menggunakan kenderaan sebagai landasan, ke mana saya pergi, ia akan menarik perhatian umum,” katanya.

Pengusaha gerai di Tanjung Lumpur, di sini, itu juga pernah mewujudkan lanskap bercirikan kenegaraan di depan kedai makannya pada 2011 yang ketika itu mana Hari Kebangsaan jatuh serentak dengan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, idea membuat landskap ketika itu datang secara spontan selain berkongsi pendapat dengan isterinya, Wan Sunaidah Wan Omar, 51, dengan membuat kelainan apabila meletakkan gambar ketupat serta lemang di sebelah kiri dan kanan landskap berkenaan bersama bendera Malaysia.

“Saya mula melakukan usaha ini sejak tahun 2000. Terus-terang saya cakap, semangat cintakan negara begitu menebal dalam jiwa dan hanya dengan cara ini saja saya dapat meluahkannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:40 AM