Mohd Asmirul (kanan) melepaskan Larian Merdeka Muhibbah yang dilakukan Nasir dan Krishnan di Dataran Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


NASIR Abas, 64, dan rakannya, Krishnan Andy, 61, memulakan Larian Merdeka Muhibbah sejauh 540 kilometer (km) dari Dataran Alor Setar ke Shah Alam, Selangor hari ini.

Pelepasan larian dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni Dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Annuar Aris 8.30 pagi.

Nasir atau lebih dikenali sebagai Pak Nasir dan Krishnan akan mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melakukan larian melebihi 500 kilometer selama 12 hari bermula hari ini dan dijangka sampai pada malam Ambang Merdeka 31 Ogos ini di Shah Alam.

Pak Nasir berkata, dia dijangka tiba di Perwaja, Gurun petang ini dan berehat sebelum meneruskan larian esok ke Pulau Pinang.

“Kami akan berehat di 12 perhentian menggunakan jalan persekutuan menyusuri dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Perak sebelum tiba di Shah Alam.

“Kami sudah lakukan persediaan yang cukup termasuk menjaga kesihatan, pemakanan dan stamina untuk memulakan larian ini,” katanya yang juga Imam Surau Al Hijrah, Kuala Kedah dekat sini.

Pak Nasir turut ditemani isteri dan dua daripada empat anaknya untuk memberi sokongan meneruskan misi itu.

Katanya, jika diikutkan itu Larian Merdeka ketujuh dan kali keempat dilakukannya secara berturut-turut selain 17 kali melakukan larian solo sejak 1997.

Sementara itu, rakannya Krishnan berkata, larian itu kali ketiga dia bersama Nasir untuk membuktikan semangat patriotik dalam jiwa mereka sempena Hari Kebangsaan ke 62 tahun ini.

“Sebagai pesara tentera, saya sudah melakukan persediaan sejak Januari lalu dengan melakukan senaman dan larian di Taman Tema Bandar Darulaman setiap pagi dan petang dua jam sehari.

“Saya harap larian kami berjalan lancar dan dari segi pengalaman lalu, saya akan lakukan lebih baik untuk mencipta MBOR tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asmirul Annuar berkata, Larian Merdeka Muhibbah itu mendapat tajaan Pejabat Menteri Besar dan kerajaan negeri berjumlah RM30,000.

“Mereka yang juga bekas tentera membuktikan semangat patriotik selain mengajak anak muda untuk lari bersama tanpa mengira kaum, bangsa dan fahaman politik.

“Selain itu, kami bercadang meraikan mereka sejurus pulang ke sini dalam satu majlis,” katanya.

Pak Nasir sebelum ini pernah mencipta rekod melakukan larian sejauh 1,754 km menyusuri Semenanjung Malaysia dari Kelantan ke Johor dan pulang ke Kedah pada 2002 selama sebulan.

Selain itu, beliau turut mencipta rekod melakukan Larian Solo dari Tawau, Sabah ke Kuching, Sarawak pada 2003 sejauh 2,058 km selama 48 hari dan larian solo sempena kejayaan pasukan Kedah merangkul Piala Malaysia sebelum ini.

Berita berkaitan

Pak Nasir lari lagi...

Pak Nasir, Krishnan dah nak sampai KLn

Pak Nasir, Krishnan dah lari 200km

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 11:53 AM