Amalina Mahira menunjukkan tudung merdeka. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamad Hussin


“SAYA tak malu memakai tudung merdeka malah bangga menggayakannya kerana semangat cintakan negara.

“Kini ia bagai trend terutama buat generasi muda,” kata Amalina Mahira Abdullah, 31, peniaga tudung merdeka secara dalam talian.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini timbul kesedaran di kalangan masyarakat mengenakan pakaian kemerdekaan sebagai tanda cintakan negara.

“Masyarakat kini sudah terima dan menggayakan pakaian merdeka sama ada untuk majlis sekolah, ke tempat kerja atau bersiar.

“Ada tiga jenis tudung bawal merdeka iaitu kekaboo, mirabelle dan ladorra.

“Sambutan diterima menggalakkan malah sejak Jun lalu hingga kini, saya terima antara 400 hingga 500 tempahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Amalina Mahira yang menetap di Banting, Selangor berkata, kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 62 tahun lalu membawa semangat tinggi bagi rakyat Malaysia.

Menurutnya, tudung itu didatangkan dengan dua corak yang boleh digayakan mengikut cita rasa masing-masing.

“Kebanyakan tudung daripada fabrik kapas dan tanpa perincian berlebihan untuk menarik minat mereka yang gemarkan penampilan ringkas serta sederhana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:21 PM