FOTO Hiasan
Abdul Rahemang Taiming


NELAYAN cedera di lengan selepas terkena tembakan sekumpulan lelaki bertopeng di kawasan perairan sempadan Malaysia-Indonesia di Tawau semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku 12.30 tengah hari ketika mangsa yang juga warga Filipina bersama anak lelaki masing-masing berusia 60 tahun dan 27 tahun menangkap ikan di kawasan perairan itu.

Difahamkan, kedua-dua mangsa didatangi tiga lelaki bertopeng yang menaiki bot jenis fiber.

Curiga dengan kehadiran lelaki bertopeng itu, mangsa dikatakan bertindak memecut bot apabila melihat salah seorang daripada lelaki itu mengacukan senjata api dan menjerit mengarahkan mereka berhenti.

Lelaki itu kemudiannya bertindak melepaskan satu das tembakan dan terkena pada lengan kanan mangsa.

Mangsa yang cedera difahamkan terus memecut laju bot menuju ke Kampung Pengkalan Wakuba untuk mendapatkan bantuan.

Kumpulan lelaki itu dipercayai berasal dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Anak Umbuas ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:22 PM