DANIEL Hakimi melipat tanjak sambil diperhatikan Norulhuda di Kampung Seri Damai, Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


HANYA berpandukan gambar tanjak dimuat turun dari Internet, jari jemari Daniel Hakimi Mohd Rostam, 14, lincah melipat kain songket sudah dijahit berbentuk segi tiga.

Siapa sangka pelajar autisme yang perkembangannya agak lambat berbanding rakan sebayanya mampu menghasilkan tanjak dengan begitu kemas dan sempurna.

Setakat ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, Kuantan itu mampu menghasilkan lapan jenis tanjak atau tengkolok antaranya Helang Menyonsong Angin, Nakhoda Trong dan tanjak Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, pembabitannya bermula apabila dipilih guru bersama dua rakannya untuk menyertai pertandingan Seni Lipatan Tengkolok YDPA sempena Karnival Pendidikan Khas peringkat Pahang pada Mei tahun lalu.

Katanya, ketika itu guru membawa seorang individu mahir membuat tanjak dan mengajar mereka untuk menghasilkan tanjak YDPA dan hanya dia seorang yang mampu menghasilkan semula tanjak berkenaan.

“Saya hanya belajar buat tanjak Agong (YDPA) sahaja, yang (jenis) lain saya belajar sendiri...tengok gambar di Google dan cuba lipat sendiri, cuba banyak kali sampai berjaya.

“Bila sudah mahir, saya mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk buat satu tanjak bergantung kepada jenis...kalau lipatan lebih banyak, mungkin lama sikit,” katanya ketika ditemui di Seri Damai, Kuantan, hari ini.

Dia yang mesra dipanggil Abang Mi berkata, dia menyimpan hasrat untuk menghadiahkan tanjak dihasilkan ketika pertandingan Seni Lipatan Tengkolok YDPA itu kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Dalam pertandingan itu saya sendiri proses pembuatannya termasuk menjahit menggunakan tangan…tanjak ini amat istimewa dan bermakna pada saya, sebab itu saya mahu hadiahkan kepada baginda.

“Sejak tahun lalu saya menyimpan hasrat itu, namun masih belum ada kesempatan untuk bertemu baginda,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Norulhuda Md Daud, 36, berkata, dia dan suami, Mohd Rostam Hassan, 39, sentiasa memberi sokongan dan dorongan buat Daniel Hakimi dalam setiap apa dilakukannya.

Katanya, dia membeli pelbagai jenis kain songket untuk anaknya itu berlatih, malah turut membeli mesih jahit untuk menjahit bahagian tepi kain itu bagi memudahkan Daniel Hakimi membuat lipatan.

“Saya dan suami terpaksa mendalami ilmu berkaitan tanjak ini bagi membantu Abang Mi, malah daripada proses memotong kain sehinggalah menjahit saya lakukan bersamanya.

“Apa yang mengagumkan Abang Mi mampu menghasilkan tanjak hanya selepas melihat gambar sahaja, malah individu mahir membuat tanjak mengakui Abang Mi mempunyai kemampuan luar biasa,” katanya.

Menurutnya, meskipun begitu, Daniel Hakimi sama seperti anak autisme lain yang ada masanya akan mengalami ‘tantrum’ serta mengamuk dan dia akan cuba memujuk serta memberi semangat kepadanya.

Pada April lalu, Daniel Hakimi dianugerahkan sebagai Ikon Austistik Pahang sempena sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:11 PM