BAHARUDIN Mat Taib. FOTO arkib NSTP
Nur Lela Zulkipli


POLIS memberi amaran keras kepada penyokong agar tidak membawa barang terlarang terutama suar dan senjata berbahaya ketika perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata, penyokong kedua-dua pasukan sepatutnya menjaga tingkah laku ketika menonton perlawanan berkenaan.

“Perlawanan ini membabitkan pemain dari Singapura dan kemungkinan besar akan ditonton peminat di luar negara.

“Penyokong juga dinasihatkan supaya menghormati anggota polis yang bertugas pada hari berkenaan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi sepanjang berlangsungnya perlawanan itu nanti,” katanya dalam sidang media khas berhubung Piala Sultan Selangor yang kini memasuki edisi ke-18 di Shah Alam, hari ini.

Menurut Baharudin, pihaknya menjangkakan kira-kira 50,000 penyokong akan hadir ke stadium dari dalam dan luar negara.

“Memandangkan akan terdapat penyokong dari luar negara, amat penting bagi penyokong kita mempamerkan imej yang baik.

“Ini sekali gus akan memberi kesan positif kepada nama baik negara,” katanya yang meletakkan 1,225 anggota polis bagi mengawal situasi pada hari berkenaan.

Baharudin berkata, kehadiran polis akan ditingkatkan untuk perlawanan antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura serta pasukan veteran kedua-dua pasukan yang menjadi acara pembuka tirai.

Penyokong juga diingatkan supaya hadir ke stadium lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan menuju ke stadium selain mematuhi arahan polis dalam aspek meletak kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 1:31 PM