LOKASI kejadian. FOTO Ihsan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BUDAK lelaki enam tahun maut, manakala ibu dan kakaknya parah selepas terjun dari sebuah pangsapuri di Taman Kepong, di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian 2.35 petang itu, tiga beranak berkenaan dipercayai terjun dari tingkat 10 pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan mendapati tiga beranak itu terdiri daripada wanita berusia 34 tahun bersama dua anaknya, lelaki dan perempuan, masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.

“Kanak-kanak berusia enam tahun disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Shanmugamoorthy berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiga beranak itu bukan penduduk pangsapuri berkenaan.

“Siasatan kini dijalankan dari pelbagai aspek bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana mencuba melakukan kesalahan membunuh diri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 1:48 PM