DANISH menerima sijil kemahiran pembinaan ketika Istiadat Konvokesyen Ke-48 Politeknik Ungku Omar. FOTO ABDULLAH YUSOF
Balqis Jazimah Zahari


MEMPUNYAI masalah pendengaran dan bisu tidak mematahkan semangat Danish Abdul Rahim, 23, menamatkan pengajian dan berjaya membawa pulang Sijil Kemahiran Pembinaan (KKA) Politeknik Ungku Omar (PUO).

Danish antara 293 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil Kemahiran Khas disampaikan Sultan Perak, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Konvokesyen PUO Kali Ke-48 di Dewan Jubli Perak Politeknik Ungku Omar (PUO), hari ini.

Penuntut yang juga atlet kurang upaya pendengaran kebangsaan dan terkenal dengan jolokan nama ‘mata biru’ berkata, dia tidak berputus asa dan sebaliknya menjadikan kekurangan dirinya sebagai motivasi untuk berjaya dalam dalam bidang diceburi.

“Memiliki kekurangan sebegini memang membuatkan saya sukar berkomunikasi, namun rakan seperti saya dan mengikuti kursus sama banyak membantu termasuk menulis di kertas jika benar-benar tidak faham.

“Kadang-kadang saya berasa tiada keyakinan diri tetapi tetap bersabar dan kekurangan ini membuatkan saya jadi lebih kuat serta bersemangat untuk berjaya seperti orang lain,” katanya menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan pensyarahnya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, keadaan itu tidak membataskan dirinya untuk tetap aktif dalam bersukan sehingga pernah beberapa kali bertanding ke peringkat antarabangsa.

“Saya menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) sebanyak 10 kali sejak di bangku sekolah dan pernah menjuarai sukan itu dua kali bagi acara larian 100 dan 200 meter ketika bertanding di Melaka.

“Dua tahun lalu saya mewakili negara menyertai kejohanan peringkat antarabangsa Deaflympics di Turki dan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang, saya akan ke Hong Kong menyertai sukan peringkat Asia bagi kategori orang pekak,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Ungku Omar, Mohd Suhairi Samad, 23, kesusahan keluarga menjadi penyuntik semangatnya untuk berjaya dan menamatkan pengajian dalam Diploma Geomatik.

“Saya bukan berasal dari keluarga senang. Ibu hanya suri rumah manakala ayah pula pemandu bas dan pengorbanan mereka yang memberi motivasi kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya,” katanya.

Penerima anugerah sama, Nur Fatihah Khairudin, 28, berkata, tindakan nekad menukar daripada bioteknologi ke jurusan akaun selepas tersangkut dalam separuh pengajian sebelum ini membuahkan hasil.

“Saya tidak dapat menyambung pengajian dalam bidang bioteknologi di Amerika Syarikat (AS) kerana kekurangan dana, namun walaupun lambat saya teruskan pengajian dalam bidang lain pula di PUO. Syukur atas sokongan keluarga dan kawan hingga saya berjaya pada hari ini,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:15 PM