GAJAH liar yang ditangkap di hutan Kampung Memali, Mukim Siong, Baling, Khamis lalu dihantar ke Hutan Royal Belum Grik. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin


SELEPAS dua jam ‘dipujuk’, gajah jantan liar yang ditangkap di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling Khamis lalu dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, hari ini.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah berusia 15 tahun dengan berat dua tan itu dipindahkan dengan bantuan dua gajah betina denak iaitu Abot dan Rampai pada 11 pagi.

Belian berkata, gangguan gajah yang sering merosakkan tanaman penduduk di sekitar Mukim Siong itu sudah direkodkan sejak dua tahun lalu.

“Kami memburu gajah ini dari semasa ke semasa, tetapi baru sekarang berjaya menangkapnya.

“Gajah ini akan dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Royal Belum, Grik, Perak,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Kampung Charok Puteh, hari ini.

Operasi bermula 9 pagi itu membabitkan 35 anggota Perhilitan dan dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Beliau berkata, banyak faktor menghalang tangkapan dibuat sebelum ini.

“Kami melihat kepada bentuk muka bumi dan kawasan untuk menangkap gajah. Perkara paling penting adalah keselamatan anggota Perhilitan.

“Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan daripada gajah lain di kawasan itu pada masa akan datang.

“Buat masa ini gangguan akan berkurangan, tetapi pada masa akan datang saya rasa memang akan berlaku gangguan dan kami akan memantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:42 PM