Rangka manusia yang ditemui dalam bangunan terbengkalai semalam. FOTO Ihsan PDRM
Shamsul Munir Safini


LELAKI menemui rangka manusia dalam keadaan berselimut di tingkat atas bangunan kosong di Jalan Bagan Luar, Butterworth semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, lelaki berkenaan menjumpai rangka terbabit di tingkat satu premis sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati rangka manusia itu berada dalam keadaan tidak lengkap dan terlentang atas lantai.

“Identiti rangka gagal diperolehi kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di kawasan itu.

“Rangka manusia itu dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Noorzainy berkata, pihaknya tidak menerima laporan polis berkaitan orang hilang dalam tempoh terdekat.

Katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi polis di talian 04-5759122 atau balai polis berhampiran untuk memudahkan urusan pengecaman rangka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 12:57 PM