Siraj Mohd Zaini


MODUS operandi sindiket pengedaran dadah yang menjadikan pusat hiburan keluarga untuk mengedarkan barang terlarang itu terbongkar dalam tiga serbuan berasingan di tiga daerah di Selangor, baru-baru ini.

Serbuan dua hari bermula Sabtu lalu dilakukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas menerima maklumat awam serta risikan pihaknya.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, hasil serbuan pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM701,226.

Menurutnya, lima suspek termasuk dua daripadanya gadis pelayan pelanggan (GRO) warga tempatan berusia 30 hingga 42 tahun ditahan dalam semua serbuan terbabit.

“Serbuan pertama di pusat hiburan keluarga di Batu Tiga Lama, Klang pada 12 tengah malam Sabtu lalu dan hasilnya seorang lelaki dan dua GRO ditahan.

“Mereka dipercayai ‘runner’ dan pemeriksaan menemui enam paket plastik lut sinar berisi 1,200 pil ecstacy seberat 395 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Ab Rashid berkata, soal siasat terhadap tiga suspek membawa kepada serbuan satu unit kondominium di Setia Alam, Shah Alam dan menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 42 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui 14,214 biji ecstasy seberat 4.6 kilogram (kg), 800 pil erimin 5 (232 gram) serta ketamin (500 gram) dengan nilai keseluruhan RM463,420.

“Lelaki terbabit bekerja sebagai pemandu E-Hailing dan polis turut menyita kereta Perodua Bezza serta wang tunai dengan nilai sitaan RM46,912,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, Ab Rashid berkata, polis menahan seorang lelaki di Bandar Utama, Damansara pada 6.30 petang keesokan hari dan menemui pelbagai jenis dadah di dalam Toyota Camry dinaikinya.

“Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui satu paket plastik lut sinar berisi 40 paket kecil disyaki ganja seberat 235 gram serta syabu seberat 100 gram.

“Hasil soal siasat polis menyerbu rumah suspek di Petaling Jaya dan menemui 85 paket plastik berisi ketulan ganja seberat 1.4 kg, 1,376 pil ecstacy, syabu (1.3 kg), 33 paket plastik serbuk ecstacy (480 gram) serta 470 pil erimin 5,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah bagi serbuan di Petaling Jaya adalah RM237,806 serta sitaan berjumlah RM8,300.

“Siasatan polis mendapati sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu dan kelima-lima suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini direman sehingga 24 Ogos ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman gantung mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 1:48 PM
Ab Rashid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi di Petaling Jaya dan Shah Alam baru-baru ini. FOTO Saddam Yusoff