Laporan portal Harian Metro mengenai kegigihan Ibrahim.
Roselan Ab Malek


GURU dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inderapura di Jerantut berjaya mengutip sebanyak RM2,000 bagi membantu meringankan beban Ibrahim Hassan, 42, yang terpaksa berulang-alik kira-kira 150 kilometer sehari bagi menjaga isterinya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Pengetua SMK Inderapura Suriaton Fakih berkata, sumbangan yang dikumpul sejak beberapa hari lalu itu akan diserahkan kepada Ibrahim hari ini bagi membolehkannya menampung perbelanjaan harian dirinya dan keluarga.

Menurutnya, sebaik kisah ketabahan Ibrahim dilaporkan Harian Metro minggu lalu, pihaknya terpanggil untuk membantu, malah ada beberapa pelajarnya mengenali lelaki itu.

“Kami mengadakan kutipan derma ikhlas dalam kalangan 510 pelajar dan 60 guru sekolah bagi membantu meringankan bebannya.

“Usaha ini adalah untuk membantu Ibrahim berulang-alik ke HOSHAS dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjaga isterinya (Norkiah Razali, 48) sepanjang menerima rawatan kanser usus,” katanya ketika ditemui hari ini.

Portal Harian Metro pada 10 Ogos lalu melaporkan kegigihan bapa beranak tujuh itu yang berulang-alik dari rumahnya Taman Sri Jaya setiap malam selepas selesai bekerja menggunakan motosikal buruk bagi menjaga isterinya di HOSHAS.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit itu juga terpaksa menguruskan tujuh anaknya yang masih bersekolah dengan pendapatan tidak seberapa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 4:02 PM