KAPAL nelayan Vietnam cuba melarikan diri ketika terserempak bot PPM Sandakan di perairan Pulau Lankayan. FOTO IHSAN PPM
NELAYAN asing Vietnam ditahan PPM Sandakan selepas menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan di perairan Pulau Lankayan. FOTO IHSAN PPM
Hazsyah Abdul Rahman


DUA kapal nelayan Vietnam menceroboh masuk dan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan perairan Pulau Lankayan, Sandakan, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi, sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan tugas rondaan ‘Op Pensura Khas’ terserempak kedua-dua kapal dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, ketika cuba dihampiri, kedua-dua kapal berkenaan cuba melarikan diri dengan memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisoner Mohamad Pajeri Ali berkata, apabila diarahkan berhenti, kapal nelayan berkenaan tidak memberi kerjasama sebaliknya cuba melanggar sisi bot ronda PPM.

Katanya, tindakan nelayan warga asing itu boleh mendatangkan ancaman nyawa dan juga kerosakan kepada aset kerajaan.

“PPM terpaksa mengejar bot nelayan berkenaan kira-kira 30 minit sebelum berjaya dipintas.

“Juragan kapal akhirnya memberhentikan kapal dan semua anak kapal menyerah diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, hasil pemeriksaan kedua-dua bot berkenaan dinaiki 10 individu warga Vietnam berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati juragan kapal melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang dalam hal empunya atau nakhoda dan RM100,000 bagi setiap kru.

“Selain itu, mereka juga boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 11 (3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan perikanan tidak dilesenkan,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, juragan dan kru kapal juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah berada di negara ini dan boleh didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kapal nelayan bersama peralatan dianggarkan bernilai RM1.62 juta dan semua tangkapan serta rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya sentiasa mengatur gerak aset pasukan untuk menjalankan rondaan dan operasi di perairan bagi memastikan perairan negara selamat dan tidak sewenang-wenangnya diceroboh anasir luar yang mengaut hasil perikanan negara secara salah.

“PPM Sabah akan terus memerangi pencerobohan nelayan asing di perairan negeri ini,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 9:12 PM